ASSALAMUALAIKUM
Aku sendirian di hadapan taman. Aku terdiam, aku termenung. Aku cuba mencoret sesuatu tetapi pemikiran aku seperti sudah letih dan tidak mahu berfikir. Fikiran aku kosong. Aku memandang permandangan di hadapanku. Apa yang aku nampak? Seorang ibu tua sedang menjual nasi lemak dan goreng pisang. Ada dua orang perempuan dan seorang lelaki sedang berborak di meja makan sebelah gerai itu. Mereka kelihatan seronok bergelak ketawa. Ibu tua itu pula kelihatan penat tetapi masih bersungguh mengoreng pisang dalam kuali. Aku terus memerhati sekeliling lagi.
Sebuah motosikal berhenti di hadapanku. Seorang lelaki dan membonceng seorang perempuan di belakangnya. Aku berpaling pandangan, tak mahu dilihat seperti sedang memerhati mereka. Mereka berjalan berpimpinan tangan memasuki kedai runcit. Umur masih belasan tahun tapi, lagak seperti sudah kahwin. Aku biarkan mereka dengan dunia mereka. Aku cuba berfikir tentang aku. Aku bosan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Aku mengharapkan pemikiranku lebih segar apabila berjalan-jalan dan berfikir tentang apa sahaja.
Apa yang aku mahukan dalam hidup? Aku terus menyuapkan jambu batu yang aku beli tadi sebelum aku duduk di bangku kayu ini. Aku berfikir sedalam dalamnya. Banyak juga yang aku telah harungi. Melihat sahaja apa yang di lalui oleh kedua ibubapa aku, kedua kakak aku. Banyak benda yang telah aku pelajari terutama apa yang berlaku pada diri aku sendiri. Aku pasti apa yang berlaku semua ada hikmahnya. Bukan untuk memujuk diri dan memberi alasan tapi, dah sememangnya dunia begini. Apa yang terjadi memang dah suratan takdir sepatutnya ia jadi macam itu.
Aku rasa masa kecil dahulu kita lebih banyak gembira dan tak banyak berfikir. Apabila kita semakin besar, kita mula mengelak dari merungut dan tidak lagi memandang setiap benda itu satu keseronokan. Semakin dewasa, semakin serius. Ia ke ? Tak perlu bersikap macam itu rasanya. Kenapa mahu menyalahkan umur disebabkan masalah dalaman kita sendiri? Perbezaan antara fikir dan buat. Bila kita hanya berfikir dan tak buat. Lain jadinya. Bila kita fikir dan buat. Pun jadi lain. Bila kita fikir serius, dia jadi serius. Bila kita fikir setiap benda ada kecantikannya sendiri dan ada sebab dia macam itu, mesti kita tak akan seserius dewasa yang lain yang berlagak matang.
Matang? Matang pada aku seperti berfikiran secara dewasa dan orang yang berfikiran matang biasanya bijak mengawal emosi daripada mengusai rasional. Selalunya, lelaki itu ego, perempuan itu emo. Mungkin ada benarnya. Tapi, melihat pada bezanya. Perempuan tak kan buat perangai emo kalau lelaki tak bersikap tak peduli atau ego. Macam mana pula dengan ego? Ego ada baiknya ke? Kenapa lelaki mesti ego? Untuk menunjukkan hebat mereka? Kelakian mereka. Setidaknya, perempuan yang terasa atau emo, dia ada sebab untuk menunjukkan dia rasa tak dihargai atau sedih dengan tindak tanduk lelaki. Ego lelaki pula sekadar nak menyakitkan hati perempuan. Aku hanya akan bangga kepada lelaki yang egonya rendah dan bertolak ansur kepada perempuan. Ego tak akan bawa ke mana pun.
Aku termenung lagi. Aku berfikir lagi. Aku bukan manusia sempurna. Macam mana aku boleh jadi sempurna? Kenapa setiap kali aku bercakap seperti disalah ertikan oleh dia. Kenapa setiap perbuatanku seperti dirasa pura-pura oleh dia.Apa yang aku fikirkan tidak dia endahkan. Apa yang aku rasa tidak dia pedulikan.Huluran baikku tak dihargai.Setiap tingkah laku, percakapanku, nasihatku, semuanya sentiasa salah sahaja di matanya. Aku keliru.
Aku dihargai oleh semua teman dan orang sekelilingku. Keluargaku selalu berbangga mempunyai anak sepertiku. Bukan ingin riak. Tapi, aku sedang berfikir, mana salahku. Kadang-kadang aku buntu. Dalam usaha aku mahu berubah ke arah kebaikan, aku tempuh pelbagai halangan. Aku berusaha elak tapi aku pernah gagal dan kecundang malah, tenggelam jauh. Orang yang aku sangka mampu memimpin aku juga rupanya adalah cubaan dan halangan aku yang paling hebat.
Aku kecewa. Bukan pada dia tapi pada diriku sendiri. Aku mahu berubah dan sepatutnya aku membawa dia bersama tetapi aku tenggelam bersama dia. Aku menarik nafas sedalamnya. Bersyukur masih bernyawa dan mampu bertaubat dan berusaha kembali dengan niat utamaku dahulu ingin berubah. Aku bangga, aku berjaya perbaiki diri sedikit demi sedikit. Ada aku kisah apa orang lain fikir. Tak ada, aku cuma berharap aku dapat menjadi contoh buat kawan-kawan ku yang lain.
Dia manusia teristimewa. Aku pernah bercerita tentang kisah aku tentang dia-dia yang lain kepada dia. Sebab aku mahukan perhubungan yang jujur. Aku tidak pernah menyayangi dia-dia seperti mana aku menyayangi dia. Dia kecundang separuh jalan. Aku berusaha bangun semula untuk mempertahamkan kita. Tapi, aku berjuang seorang diri dan aku bertepuk sebelah tangan. Aku rasa sayang dia kepada aku semakin pudar,tapi sayang aku kepada dia semakin berkembang mekar. Ternyata aku tersalah orang lagi.
Aku betul-betul kecewa. Hidupku tidak seperti dulu lagi, air mata menjadi temanku, sejadah menjadi tempat tidurku, doa menjadi medium mengadu, bercerita dan berharap sepuas-puasnya kepada Dia. Aku lemah sebab aku tidak menyangka ia terjadi. Aku ikhlas, aku setia, aku mahu membina hidup bersama dia. Aku kecewa, ya, aku kecewa. Dia tidak memberi peluang kepada aku untuk berubah bersama-samanya. Setiap harapan dan janji yang dilontarkan seakan-akan tipu semuanya.Kerana apa? kerana dia tidak membuktikannya.
Aku terusan memandang sekeliling. Aku tersenyum melihat seekor kucing comel melintas di hadapanku. Kucing itu kelihatan gembira, berlari larian di sekeliling dedaun lalang. Telatahnya mencuit hatiku. Aku gembira. Aku yakin, setiap benda yang sedih ada gembiranya. Setiap benda yang susah, ada senangnya. Semuanya atas dasar, apa yang kita fikirkan dan mahukan ia terjadi bagaimana. Aku memang bukan sempurna. Aku dah cakap dah tadi. Tiada apa yang dapat aku hulurkan, melainkan persahabatan yang setia, doa seorang saudara yang ikhlas, teman sehidup semati di kala susah dan senang. Kasihku hanya pada Dia. Jika Dia membuatkan aku kasih kepada dia juga. Aku tak akan menyalahkan Dia kerana mewujudkan sayang aku kepada dia.
Apa yang aku harapkan tak semestinya terjadi seperti yang aku mahukan. Apa yang aku mahukan tak semestinya aku miliki. Apa yang aku miliki tak semestinya menjadi hak aku selamanya. Kebahagiaan bukan milik aku. Bila bila masa sahaja Dia boleh ambil semula. Yang sihat tak semestinya hidup esok hari, yang sakit tak semestinya mati esok hari, yang cantik tak semestinya peroleh kebahagiaan, yang buruk tak semestinya hidup dalam kesedihan. Aku tersenyum mengenangkan nasibku. Apa yang aku rancang untuk terjadi esok pula?
2 comments:
yana!!!!
ehem3 *clearing the throat*
esoknyer...kt semua merelakan diri tuk berjemuran di tengah panas kan2..hahahah
yana sayang..
tabah yer..
yana akan jumpa DIA yang mmg diciptakan untuk yana..
tulang rusuk xakan bertukar kan..
chill syg..
yana da itammm :( tenkiuuu fazz... syggg la ky fazz niii :)
Post a Comment